PEMUDA MENUJU KE ARUS PERUBAHAN

Monday, July 26, 2010

Suami tunjang rumah tangga bahagia

Suami tunjang rumah tangga bahagia
Oleh Khairul Anwar Rahmat


Mari sama-sama kita renungkan pesanan Rasulullah: “Perlakukanlah wanita dengan baik, kerana mereka itu diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok. Yang bengkok pada tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Bila engkau terlalu keras meluruskannya ia patah, tetapi bila engkau biarkannya ia tetap bengkok. Oleh itu, perlakukanlah wanita dengan baik”.

Demikianlah sabda Baginda sebagai panduan kaum lelaki. Hendaklah kita sentiasa berlembut dengan kaum wanita terutama yang sudah sah diijabkabulkan sebagai isteri.

Walau apa pun yang berlaku, didiklah isteri dengan cara yang paling berhikmah supaya tidak melukakan perasaannya yang lembut apatah lagi mencederakan tubuh badannya.

Dalam sepotong ayat al-Quran, Allah berfirman maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya, dalam hal yang demikian itu terdapat bukti-bukti bagi orang-orang yang mahu berfikir.” (Surah Ar-Rum: 21)

Kemuliaan kita sebagai suami hanya akan diiktiraf sekiranya kita berjaya berlaku adil, berkasih sayang dan menghargai isteri sendiri.

Tiada contoh teladan yang lebih baik daripada melihat bagaimana Rasulullah menjalani kehidupan beliau sebagai seorang ketua keluarga. Ambillah petua daripada Baginda terutama bagaimana seseorang isteri harus dihormati dan dikasihi.

Baginda bersabda: “Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya. Sedang aku adalah orang yang paling baik terhadap isteri.” (Hadis Riwayat Tabrani dan Tirmidzi)

Berdasarkan pengalaman peribadi dan rakan peguam yang lain, kebanyakan kes rumah tangga yang didedahkan di majalah dan dada akhbar adalah disebabkan pembinaan keluarga yang tidak berasaskan ketauhidan terhadap Allah SWT.

Justeru, marilah kita bersama kembali kepada hikmah perkahwinan yang sebenar kerana ganjarannya amat besar bukan setakat kebahagiaan di dunia, malah syurga Firdaus hakiki yang akhirnya menjadi saksi cinta sejati.

Penulis ialah Peguam Sivil di Mahkamah Tinggi Malaya serta Peguam Syarie di Mahkamah Tinggi Syariah

No comments:

Post a Comment